BRASILIA: Bintang Uruguay, Luis Suarez menegaskan, tiada istilah sahabat antara dia dengan Lionel Messi apabila kedua-duanya bakal bertembung dalam saingan Copa America, esok (pukul 8 pagi waktu Malaysia).
Kedua-duanya akan bertembung di Stadium Nasional di Brasilia bagi mewakili negara masing-masing melibatkan Uruguay dengan Argentina dalam aksi Kumpulan B nanti.
Jelas pemain Atletico Madrid itu, dia sangat rapat dengan bekas rakan sepasukannya itu ketika di Barcelona, melainkan sewaktu berada di atas padang.
“Saya dan Leo adalah sahabat, tetapi jika di atas padang, tiada istilah rakan karib. Situasi yang sama apabila jika saya menentang Barcelona atau Argentina.
“Argentina sangat sukar untuk difahami dan mencabar. Kami akan pastikan Uruguay tidak membuka peluang kerana mereka sangat hebat di bahagian serangan.
“Bagaimanapun, kami sedia memanfaatkan kekurangan yang mereka ada. Setiap pasukan pasti ada kekurangan dan kelebihan,” kata Suarez.
Uruguay dijangka menggandingkan dua mesin gol terhebat mereka iaitu Suarez dan Edinson Cavani di barisan hadapan untuk berdepan Argentina.
Suarez membantu Atletico memenangi gelaran La Liga musim ini dengan menyumbang 21 gol, manakala Cavani 17 jaringan bersama Manchester United, yang menamatkan kempen di tempat kedua Liga Perdana Inggeris. – AGENSI