‘Membangau’ dan Covid-19 - Utusan Malaysia

‘Membangau’ dan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBIL membangau’ (istilah pemandu Grab yang merujuk kepada menunggu pesanan penumpang dalam tempoh yang lama), seorang rakan bercerita pengalamannya kepada saya.

Kata rakan ini yang saya gelarkan sebagai Ahmad saja, dia seronok mengenang waktu sebelum Covid-19 berleluasa menyerang satu dunia.

“Masa itu seronok sebab penumpang ramai. Tak pernah ‘membangau’ macam sekarang. Teringat ada seorang pelancong perempuan yang datang dari Shenzen, China.

“Masa itu sudah tengah malam. Saya ambil dia dari Bukit Bintang dan lokasi drop off di Pandan Indah.

“Bahasa Inggeris penumpang ni memang berterabur, bukan main payah hendak faham. Rupanya kawan dia yang pesankan Grab dan sudah dibayar menerusi Grabpay dengan jumlah RM18.

“Dalam kereta, dia cuba bersembang tapi sebab masalah bahasa, saya hendak berbual pun payah. Dah macam bahasa itik dengan bahasa kucing, tak paham jadinya.

“Sudahnya saya iyakan saja apa dia cerita, asalkan dapat tangkap sikit-sikit,” cerita  Ahmad.

Setibanya di kediaman perempuan tersebut, Ahmad memberhentikan kereta. Si perempuan menghulurkan duit tambang RM20 dan berkata, keep the change.

Ahmad menerangkan, tambang sudah dibayar menerusi Grabpay, jadi tak perlu beri dia tambang lagi.

“Tapi perempuan ini mendesak. Saya tolak tak nak ambil. Dia bercakap kuat suruh saya ambil juga. ‘I pay 20, keep the change…keep the change’ itu saja diulang-ulang cakap.

“Puas saya terangkan tak payah bayar, ‘no need money’. Dia pula, ‘here money…here money’.

“Bertolak-tolak kami ini, agaknya suara pun kuat masing-masing sampai jiran-jiran dah jenguk di tingkap. Saya pun risau sebab lewat malam dan tak nak ganggu orang lain.

“Sudahnya saya ambil sajalah tambang dia. Malas nak bertekak lagi. Dia pun jawab, ‘thank you good friend’. Haha..,” kata Ahmad.

Apa pun katanya, dia berasa bersalah kerana mengambil tambang yang sebenarnya sudah pun berbayar. Baginya, itu bukan rezeki yang halal.

“Saya pun tutup aplikasi Grab dan menelefon perkhidmatan pelanggan Grab memberitahu hal sebenar. Saya tak nak dituduh ambil double pay. Lagipun itu bukan hak saya.

Grab kata akan siasat dan akan buat penolakan dan memulangkan balik Grabpay pelanggan tersebut.

“Saya pun teruskan perjalanan mencari rezeki dan melupakan perkara yang berlaku. Tak teringat pula saya hendak semak balik di aplikasi sama ada Grab buat penolakan atau tidak.

“Yang penting, saya jalankan amanah dan tak mahulah ambil duit orang lain. Kalau saya nak buat diam saja, mungkin boleh tapi itu bukan duit saya. Rasa berdosa pula. Kita kena cari duit dengan berkat,” kata Ahmad.

Bagi sesetengah orang mungkin jumlah itu kecil dan boleh ‘pejam mata’ sahaja. Namun, dalam soal mencari rezeki, keberkatan itu perlu.

Kata Ahmad, walaupun kerap ‘membangau’ ketika ini, namun dia yakin dunia e-hailing akan kembali bersinar sebaik saja Covid-19 lenyap dari bumi Malaysia ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya