Memang ada manusia ‘tikam belakang’ – Shalma Eliana - Utusan Malaysia

Memang ada manusia ‘tikam belakang’ – Shalma Eliana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka, sebenarnya, penyanyi bernama Shalma Eliana ini sebenarnya memiliki sisi berbeza ketika melewati zaman kanak-kanak dan remajanya.

Memilih untuk lebih selesa duduk di rumah, membuat hal sendiri, ia tidak bermaksud dia gemar terperuk mengasingkan diri dari dunia luar. Apalagi waktu kecil adalah masa yang sesuai untuk seseorang itu belajar membuat kawan.

Barangkali ada sebab tersendiri, Shalma bagaimanapun mengaku saat usianya menjengah angka 18 tahun, pandangannya tentang dunia luar dan orang sekeliling mula berubah.

“Saya datang daripada keluarga yang tidak terlalu terdedah dengan pergaulan orang luar. Tetapi bukan bermakna sombong, cuma saya suka duduk di rumah.

“Sebab itu budaya lepak sangat asing buat saya sebelum ini. Jadi, apabila sudah pandai bergaul, saya ada persepsi tentang orang lain di mana semua orang sebenarnya baik.

“Secara tak langsung saya anggap, oh dunianya tak adalah kejam sebagaimana yang pernah didengari sebelum ini,”katanya.

Pun begitu, kata penyanyi berusia 21 tahun ini, dia menyedari pandangannya itu salah. Ini kerana ternyata masih banyak perkara tentang manusia dan dunia yang belum benar-benar dia fahami.

“Bila semakin lama saya cuba berkawan dan kenal dengan orang, ternyata sebenarnya ramai manusia yang berpura-pura. Di sebalik kebaikan yang dipamerkan di depan, dia jugalah manusia yang menikam di belakang.

“Barulah saya tahu yang dalam hidup ini tidak semuanya indah. Sebagai seorang manusia juga, rupa-rupanya kita perlu lalui semua itu sebagai sebahagian daripada pelajaran dalam hidup,” katanya.

LAGU UNTUK DRAMA

Menurut Shalma, dek pengalaman hidup itulah dia mendapat ilham untuk menghasilkan single terbarunya berjudul Rambang apabila kisah itu diolah dan diceritakan dalam bentuk lagu.

Merupakan single keempat selepas kali terakhir muncul dengan lagu Aroma, Shalma gembira Rambang sekali lagi menyaksikan kerjasamanya dengan dua komposer yang juga kenalannya, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.

Selesa bekerjasama dengan dua sahabatnya itu, kata Shalma, tiada istilah dia memilih atau cerewet bekerja dengan mana-mana komposer lain.

Cuma, barangkali kerana sudah terlalu akrab dengan mereka, maka tiada salahnya jika pelaksanaan gerak kerja itu sekali lagi dibuat bersama-sama.

“Bagi saya, keserasian itu penting kalau nak hasilkan karya yang ada jiwa. Lagipun, muzik yang digubah oleh mereka kena dengan kehendak saya dan bonusnya, mereka adalah kawan saya sendiri,” katanya.

Tidak menolak bahawa lagu ini juga dihasilkan untuk dijadikan runut bunyi drama, kata Shalma, ia adalah sebahagian daripada perancangan awalnya.

“Sebenarnya memang ia untuk lagu runut bunyi sebuah drama. Tapi sebarang makluman rasmi mengenai perkara tersebut belum ada lagi. Apa yang boleh diberitahu, ia juga sebuah drama lakonan saya.

“Secara peribadi, saya rasa sesebuah lagu itu jika dijadikan runut bunyi drama atau filem, ia mampu membantu dari segi strategi pemasaran. Orang pun akan lebih kenal dan tahu lagu itu.

“Macam lagu Aroma, saya pun baru dapat tahu ia telah dijadikan lagu runut bunyi sebuah drama. Ya, bagi saya bagus,” katanya.

Dalam pada itu, Shalma menerima baik pandangan yang mengatakan dia masih belum begitu dikenali walaupun sudah memiliki empat buah single.

Tidak menolak ia juga adalah soal tuah dan rezeki, Shalma bagaimanapun enggan menjadikannya satu alasan untuk lekas berputus asa menghasilkan lebih banyak karya lain.

“Saya nak hasilkan karya yang lebih tulus, yang membolehkan saya menjadi diri sendiri. Kalau ada yang dengar dan suka dengan lagu saya, ia sudah cukup. Kalau ditakdirkan cuma 1,000 orang sahaja yang suka dengan lagu saya, itu pun satu rezeki.

“Misalnya lagu yang dihasilkan mampu membuatkan seseorang itu terinspirasi dan merubah hidupnya, ia juga sudah cukup untuk saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya