JAKARTA : Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw melahirkan rasa bimbang bila-bila masa sahaja rumah ketika dia melalui zaman kanak-kanaknya di Jawa Barat bakal dirobohkan oleh Kereta Api Indonesia (PT KAI).
Menurut Melly, rumah tersebut walaupun tidak mewah, menyimpan sejuta kenangan indah sewaktu dia membesar dan tinggal bersama ibu dan bapanya, Ersi Sukaesih Suprapto Kiblat dan Melky Goeslaw.
“Ini rumah tempat saya dan keluarga saya dilahirkan. Sekarang tinggal bibi (adik bongsu ibunya) yang tinggal di sana. Kawan-kawan kecil saya masih ada di sana.
“Sekarang, mereka terancam pengusiran oleh PT KAI, saya akan berjuang semampunya agar mereka mendapatkan layanan atau polisi yang layak dan manusiawi. Bismillah, semoga hidup saya ada gunanya,”katanya.
Melly berkata demikian dalam satu luahan yang dibuat olehnya seiring dengan paparan gambar dia bersama rumah di kampungnya itu menerusi perkongsian yang dibuat dalam akaun Instagramnya, semalam.
Selain itu, menerusi hantaran yang sama, Melly berkongsi kenangan manisnya sewaktu zaman kanak-kanak di rumah tersebut terutama ketika bersama arwah neneknya.
“Di depan jendela ini adalah sebuah kali (sungai) yang cukup besar. Kalau hujan dan banjir, saya suka digendong nenek sambil tengok air banjir dari jendela ini. Kadang, ada ular besar dan bagi kami ini sudah cukup menjadi hiburan yang menyenangkan.
“Al-Fatihah untuk emak di syurga. Emak adalah panggilan untuk arwah nenek saya,”katanya.
Selain itu, Melly turut meluahkan rasa bahawa mungkin sebelum ini ramai yang menganggapnya sombong sedangkan itu bukanlah sifat sebenar dirinya.
“Kita tidak boleh paksa semua orang suka sama kita. Apa yang harus saya sombongkan? Saya ini lahir dan membesar daripada keluarga dan lingkungan bawah.
“Mungkin ini yang membuat saya selama ini lebih suka bergaul dengan kegiatan kemanusiaan dan sosial, kerana saya pernah berada di tempat yang sangat bawah.
“Apa yang saya miliki sekarang adalah hasil kerja keras selama bertahun-tahun,”katanya.