PUTRAJAYA: Satu mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi akan ditetapkan kerajaan bagi mengurangkan beban pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk tujuan itu dan akan memaklumkan hasil perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui.
Menurut beliau, pihak penguat kuasa kementerian sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi.
“KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexander berkata, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) adalah salah satu contoh pelaksanaan kawalan harga di setiap musim perayaan yang mana permintaan dijangka meningkat dan peningkatan itu akan menekan harga barangan seperti yang biasa berlaku dalam ekonomi pasaran bebas.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta tahun ini berbanding RM528 juta tahun lalu bagi melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS) bertujuan meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup mereka.
Katanya, mekanisme ini terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak dengan harga berpatutan dan subsidi itu diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat pada masa ini.
Bagaimanapun, jelasnya, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2 kg, 3 kg, 5 kg dan dalam tin 17 kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.
“Rakyat boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1 kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.
“Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama,” katanya.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kerajaan memperuntukkan 60,000 tan metrik ™ sebulan (atau 720,000 tm setahun) bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan (720 juta polibeg setahun) untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia semua peringkat di seluruh negara.
Katanya, kuantiti tersebut berdasarkan kadar penggunaan 1.8 kg seorang setiap bulan (22.0 kg seorang setahun).
“Pada masa ini harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,500 tan metrik (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2,500 tan metrik sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.
“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya. – UTUSAN