Mbappe 'singkirkan' Perancis, Switzerland selamat - Utusan Malaysia

Mbappe ‘singkirkan’ Perancis, Switzerland selamat

PENJAGA gol Switzerland, Yann Sommer menafikan tendangan penalti penentuan penyerang Perancis, Kylian Mbappe dalam aksi peringkat 16 terakhir Euro 2020 di Stadium Nasional, Bucharest, hari ini.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUCHAREST: Switzerland melakar kejutan dengan mengatasi juara dunia, Perancis selepas Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan terakhir penalti penentuan dalam aksi peringkat 16 terbaik Euro 2020, sebentar tadi.

Saingan di Stadium Nasional, Bucharest itu menyaksikan Switzerland menundukkan skuad Les Blues 5-4 menerusi sepakan penalti penentuan selepas masing-masing terikat 3-3 dalam aksi penuh masa tambahan.

Terdahulu, Haris Seferovic membuka jaringan untuk skuad bimbingan Vladimir Petkovic pada minit ke-15 dengan Switzerland kekal mendahului 1-0 sehingga waktu rehat.

Babak kedua bersambung menyaksikan drama kejar mengejar bermula selepas pengadil menghadiahkan tendangan penalti buat skuad Rossocrociati pada minit ke-55, namun gagal disempurnakan Ricardo Rodriguez.

Ekoran kegagalan tersebut, Switzerland bagaikan ‘koyak’ sehingga memberi ruang untuk Karim Benzema mengikat kedudukan dua minit berselang, sebelum penyerang Real Madrid itu meletakkan Perancis di depan pada minit ke-59.

Juara Euro dua kali, Perancis kemudian menambah derita Switzerland setelah rembatan jarak jauh Paul Pogba pada minit ke-75 menerjah masuk ke gawang gol.

Tiada istilah mengangkat bendera putih bagi Switzerland biarpun ketinggalan 1-3 ketika berbaki 15 minit perlawanan, dengan Seferovic dan Mario Gavranovic masing-masing meledak gol pada minit ke 81 serta 90, sekali gus mengheret mereka ke masa tambahan.

Dalam aksi sepakan penalti penentuan, hanya Mbappe gagal menyempurnakannya selepas penjaga gol Switzerland, Yann Sommer menafikan tendangan bintang Perancis itu.

Rakan sepasukan Mbappe iaitu Paul Pogba, Olivier Giroud, Marcus Thuram, Presnel Kimpembe berjaya menyempurnakannya, manakala Switzerland menerusi Mario Gavranovic, Fabian Schar, Manuel Akanji, Ruben Vargas serta Admir Mehmedi.

Switzerland bakal berdepan Sepanyol aksi suku akhir Euro 2020 di Stadium Krestovsky, Saint Petersburg pada Sabtu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya