KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap bilangan kenderaan yang disifatkan masih terlalu banyak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan pada Selasa lalu.
Beliau berkata, ia berdasarkan tinjauan yang dilakukan dalam tempoh empat hari ketika ini.
“Hari pertama PKP penuh saya buat pantauan sekatan jalan raya (SJR), saya tengok ada penurunan kenderaan. Hari kedua, saya buat lawatan mengejut di kilang-kilang, saya tengok ramai menyalahgunakan (kebenaran pergerakan), jadi kita bagi amaran.
“Hari ketiga, kita tengok balik SJR, sampai 86,000 pemantauan kita buat di seluruh negara. Kita tidak puas hati dengan jumlah pergerakan di jalan raya, jadi kita buat keputusan dipertingkatkan lagi bilangan SJR, begitu juga pemantauan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan pemantauan di pusat beli-belah di sini, hari ini.
Katanya lagi, SJR akan ditambah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor serta Pulau Pinang.
Setakat ini, terdapat 887 SJR di seluruh negara. – UTUSAN