KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer, Mark Adam melihat kemampuan bakat-bakat cilik tempatan tidak wajar dipandang lekeh memandangkan jika diasuh dan dibentuk dengan baik golongan ini berpotensi menjadi pelapis anak seni yang bermutu dalam industri.
Menurut Mark, sebagaimana bakat yang ada pada seorang daripada anak didiknya, Angelica Petra Battle, 9, dia meletakkan kepercayaan bahawa Angel mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai penyanyi cilik yang berpotensi besar dalam bidang ini pada masa akan datang.
“Boleh dikatakan setakat ini tidak ramai penyanyi-penyanyi cilik yang muncul dalam industri hiburan tanah air. Tetapi, ia tidak bermakna kita ketandusan bakat kanak-kanak yang boleh diketengahkan untuk menjadi seorang penyanyi.
“Seperti Angel, dia memiliki bakat yang bagus dan vokalnya juga bagi saya unik. Tidak mustahil akan datang dia menjadi antara penyanyi yang hebat yang menggerakkan industri seni tanah air,”katanya.
Menurut Mark yang menggalas tugas sebagai komposer lagu berjudul Selamanya Bersama buat Angel, naskah itu dihasilkan berdasarkan cerita yang menarik di sebaliknya.
“Apabila diminta oleh ibu Angel sendiri untuk hasilkan sebuah lagu, saya banyak mengkaji tentang diri Angel, terutama mengenai perangai dan karakternya.
“Ia mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang kehilangan kedua ibu bapa dan kemudian dia dijaga oleh seorang lelaki yang akhirnya dianggap sebagai seorang ayah.
“Untuk inspirasi, saya banyak terkenangkan pengalaman bagaimana ibu dan ayah membesarkan saya sewaktu kecil dahulu,”katanya.
Berkongsi mengenai pengalamannya bekerja dengan Angel yang masih kanak-kanak, Mark mengaku pada mulanya berhadapan dengan cabaran ketika rakaman memandangkan Angel mempunyai ‘mood’ sendiri.
Bagaimanapun, katanya, lama-kelamaan setelah Angel memahami serba sedikit tentang muzik dan rakaman, akhirnya rakaman lagu tersebut berjalan lancar.
“Kadang-kadang kanak-kanak ni kita tak boleh paksa dan kena ikut mood dia. Alhamdulillah, Angel ni sebenarnya berbakat dan mudah memahami apa yang dipelajarinya,” katanya.
Dalam pada itu, ibu Angel pula, Datuk Rosmar Ayu Mokhtar berkata, Selamanya Bersama merupakan ciptaan sepenuhnya Mark Adam serta diilhamkan sendiri olehnya yang mendedikasikan lagu ini kepada ayahnya.
Jelas Ayu, lagu berkenaan dirakamkan pada Disember 2020, manakala muzik video pula dihasilkan pada Februari lalu.
“Kalau kebanyakan lagu yang dihasilkan sebelum ini banyak berkisar tentang ibu, namun Selamanya Bersama ini lebih kepada seorang bapa.
“Saya meletakkan harapan agar lagu ini diminati pendengar dan berharap orang ramai dapat menerima kemunculan Angel dalam industri nyanyian pada usia yang cukup muda,”katanya.
Selain menyanyi, difahamkan Angel juga terlibat dalam dunia lakonan dengan antara naskah yang pernah dibintanginya termasuk Daddyku Gangster dan Harum Malam serta sebuah filem Indonesia berjudul Perjalanan Pertama.
Kesemua naskah ini bagaimanapun masih menunggu tarikh tayangan yang sesuai mengikut keadaan semasa terutama ketika pandemik yang masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk beransur pulih kini.