Maritim Perak rampas 110 set bubu naga di muara Sungai Perak

Maritim Perak rampas 110 set bubu naga di muara Sungai Perak

SEBAHAGIAN daripada 110 set bubu naga yang ditemukan di muara Sungai Perak di Bagan Datuk semalam. - IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 110 set bubu naga di dua lokasi berbeza dekat muara Sungai Perak di Bagan Datuk semalam.

Semua bubu naga tersebut ditemui sekitar 3.2 hingga 3.3 batu nautika barat laut muara Sungai Perak kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bubu naga itu ditemukan oleh bot penguat kuasa semasa melakukan rondaan rutin bersepadu berhampiran kawasan tersebut.

“Bot penguat kuasa telah mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan disyaki penanda bubu naga.

“Pemeriksaan lanjut di kedua–dua lokasi mengesahkan pelampung tersebut merupakan penanda kepada bubu yang dipasang oleh individu yang tidak bertanggungjawab. 

“Kesemua bubu naga yang berjumlah 110 set itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, kesemua bubu naga yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM13,200 dengan anggaran RM120 seunit.

Jelasnya, penggunaan alat peranti memerangkap ikan secara salah menggunakan bubu naga dilihat berlaku secara berleluasa walaupun tindakan tegas dan larangan penggunaannya telah dikeluarkan.

Tegasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. 

Menurut beliau, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus.

Shahrizan juga meminta komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti serupa agar menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737. 

“Mereka juga dinasihatkan agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut. 

“Hubungi talian 999 jika mengalami kecemasan atau ingin melaporkan kejadian jenayah di laut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya