KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengambil inisiatif tersendiri dalam usaha menekankan keselamatan di laut bersama penduduk dan nelayan khususnya di kawasan Teluk Gading, Rompin, dekat sini.
Ketua Pos Maritim Teluk Gading, Leftenan Madya Maritim Faiz Sukarmo berkata, anggota Maritim Malaysia meninjau beberapa lokasi tumpuan komuniti setempat dengan menyampaikan peringatan dan mengedarkan risalah berkaitan keselamatan di laut.
Menurutnya, anggotanya turut menyampaikan penerangan ringkas tentang operasi cari dan selamat (carilamat) yang diterajui Maritim Malaysia selama ini.
“Tinjauan dan inisiatif bertanya khabar juga dilakukan ke atas kelompok masyarakat pesisir pantai.
“Agihan risalah dan penerangan ringkas tatacara pemakaian jaket keselamatan yang betul serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bekerja di atas bot, khususnya dalam situasi pandemik Covid-19 turut dikongsi bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Inisiatif tersebut merupakan pengisian Sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim Peringkat Kebangsaan (HKKM), Maritim Malaysia yang disambut 6 Jun setiap tahun bersempena dengan Kempen Kesedaran Keselamatan Di Laut peringkat kebangsaan bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan keselamatan semasa berada di laut.
Sementara itu, Faiz berkata, pertemuan santai dengan pematuhan ketat SOP telah memberi ruang dan peluang dalam perkongsian maklumat terutama melibatkan usaha menangani isu-isu keselamatan dan aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya melibatkan perairan Pahang.
“Usaha dan nilai murni ini sekali gus mendekatkan Maritim Malaysia dengan nelayan tempatan dan menjadikan mereka sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat serta aduan sekiranya diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya terdapat sebarang aduan dan maklumat ia boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – UTUSAN