PASIR GUDANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor mengekang cubaan membawa masuk lebih 28 tan daging kerbau tanpa tulang dari India bernilai RM293,842 di Pelabuhan Johor di sini kelmarin.
Pengarah Maqis negeri, Hizzuan Hasim berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati nombor ‘seal’ pada kontena yang membawa produk itu tidak sama seperti yang dinyatakan di dalam dokumen pengangkutan barangan yang diikrar.
Beliau berkata, daging kerbau sejuk beku dipercayai bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan itu dirampas pada pukul 5.40 petang.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Oleh itu, kesemua daging kerbau seberat 28,008 kilogram tanpa tulang berkenaan dirampas bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Hizzuan, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau
dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara.
“Ia bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.