SETELAH muncul sebagai salah satu pasukan pilihan kejohanan, Itali yang akan bertemu Austria di Stadium Wembley, London pada pukul 3 pagi esok, pastinya menjadi perlawanan pembukaan pusingan kedua yang sengit.
Permulaan Azzurri yang gemilang dengan rekod tanpa kalah dan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Turki dan Switzerland serta 1-0 ke atas Wales, memaksa pengendali Itali, Roberto Mancini terus mencatur strategi bagi meraih kemenangan ke atas Austria sekali gus melebar rekod tanpa kalah.
Bagaimanapun, Mancini tidak mengecilkan kemampuan Austria yang turut layak ke pusingan kedua atas status naib juara Kumpulan C dengan dua rekod kemenangan – menumpaskan Ukraine dan Macedonia Utara.
Menjaga reputasi dan harapan mungkin tugas paling sukar buat Mancini dan pemainnya dalam laluan ke peringkat akhir Kejuaraan Eropah musim panas ini. Rekod 30 perlawanan tanpa kalah yang menyamai rekod kebangsaan pada tahun 1930-an di bawah jurulatih legenda Vittorio Pozzo, memberi sedikit motivasi.
Jika berjaya mengalahkan Austria, Itali sedar bahawa laluan yang cukup getir bakal menanti mereka kerana akan berhadapan Belgium atau Portugal pada pusingan seterusnya.
Menanti lawan di separuh akhir jika Itali turut layak ialah Perancis, Sepanyol atau Croatia.
Apa pun congaknya, bekas juara dunia empat kali ini akan meninggalkan kubu kuat Rom di Stadio Olimpico untuk bertemu Austria di kawasan berkecuali. Walaupun bertanding di Wembley, namun La Nazionale yakin prestasi cemerlang mereka akan berterusan.
“Menggenggam trofi adalah lebih utama berbanding mencipta rekod dengan skuad The Azzurri. Kami gembira kerana semua pemain bermain dengan cemerlang.
“Perubahan dalam pasukan tidak dapat dielakkan biarpun ia adalah perlawanan penting, saya perlukan kekuatan baharu dalam pasukan,” kata Mancini.
Sementara itu, Austria turut menaruh keyakinan dan berpotensi mengatasi perlawanan kalah mati pertama mereka dalam sejarah Kejuaraan Eropah dengan sokongan padu peminat walaupun tiada teriakkan di stadium.
Jurulatih Austria, Franco Foda tidak bimbang dan gentar dengan rekod Itali malah sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak.
“Bermain di tempat berkecuali adalah tidak menjadi halangan buat saya. Bahkan, Austria dan Itali akan beraksi tanpa peminat, jadi ia tidak membawa makna buat saya untuk beraksi di London,” kata Foda. – AGENSI