Okey bertenang, Poklip memang ada nombor telefon Aiman. Ya, mudah sahaja untuk Poklip hubungi dan bertanyakan soalan ini. Tetapi, apa kata Poklip buka ruang untuk semua memberi pandangan juga. Awas, gunakan perkataan yang manis-manis sahaja tau.
Soalannya mudah, mana Aiman Tino? Satu ketika dahulu, namanya cukup fenomena. Bukan sahaja di Malaysia, Indonesia, Singapura semua dia ‘tapau’. Tetapi sekarang, namanya kurang panas. Paling tidak kontroversi ‘lari rumah’ dahulu.
Cuma Poklip faham, di kala pandemik, semua orang terkesan. Baik penyanyi, pelakon hatta wartawan pun turut terkena tempiasnya. Cuma mungkin Aiman perlu mengatur strategi baharu? Sayang sebab awak muda dan masih ada peminat.
Malah, Aiman juga pernah cakap, hari-hari ada peminat tanya bila hendak keluar dengan single baharu? Jadi apa kata Aiman cuba kumpul material dan menyusun semula kerjaya. Bukan apa, nanti bila peminat sudah perlahan-lahan lupa, bukankah itu satu tragedi?
Nasihat Poklip, Aiman perlu mencuba sesuatu yang baharu. Lagu juga usahlah di takuk yang sama. Tidak berubah dari zaman Ku Rela Dibenci. Cukup-cukuplah dengan genre atau lagu ‘leman’ seperti itu. Biar ada anjakan paradigma.
Poklip tahu, itu bukan keputusan seorang diri. Pihak pengurusan juga main peranan. Jangan biarkan bakat anak muda tenggelam dek percaturan yang sama. Aiman mungkin boleh cuba berkolaborasi dengan komposer berbeza?
Kadang-kadang seseorang perlukan keberanian untuk mengubah sesuatu. Jangan takut dik. Jiwa muda jangan dibiar ‘tua’. Lakukan sesuatu sebelum terlambat. Di kala rakan seangkatan sudah mula berlari laju, Aiman juga perlu pecut sama.
Aiman juga sedang sibuk berlakon kan sebelum ini? Ada beberapa drama yang Aiman terlibat, jadi itu satu progress yang baik. Berlakon pun tak kayu. Cuma dari segi nyanyian, satu anjakan perlu dilakukan.
Jangan pula terlalu mencuba. Perlahan-lahan berlari. Poklip tahu, Aiman budaknya berani untuk mencuba dan percayalah, peminat juga pasti merestui. Kalau tidak bermain dengan api, masakan kita tahu panas dan lecurnya bukan?
Poklip nasihat sahaja. Kalau mahu ikut silakan. Kalau mahu bangkang juga, gelanggang sedia dibuka. Cuma janganlah ingat kita mahu kecam sahaja. Poklip juga kenal Aiman bukan setahun dua, jadi beranikan diri dik!