GLASGOW: Pemain sayap Sweden, Emil Forsberg mengakui telah bersedia 100 peratus untuk menghadapi aksi pusingan 16 terbaik saingan Euro 2020 berdepan Ukraine di Hampden Park, awal esok pagi.
Forsberg telah meledak tiga gol iaitu satu ketika menewaskan Slovakia 1-0 dan dua lagi ketika membantu Sweden melakar kemenangan penuh dramatik ke atas Poland.
Begitupun, pemain itu dilaporkan tidak menjalani latihan pada Sabtu ekoran mengalami sedikit masalah ekoran bermain dalam cuaca panas di Seville.
“Keadaan saya baik dan telah menjalani latihan sepenuhnya hari ini (semalam). Saya (tidak turun latihan) kerana lebih kepada langkah berjaga-jaga dan tiada sebarang masalah,” katanya dalam sidang media.
Diturunkan di sayap kiri, namun pengendali Sweden, Janne Andersson memberi kebebasan kepada Forsberg untuk bergerak dan ia menjadi kunci kepada kejayaan Sweden.
Andersson kini bakal ‘pening’ untuk membuat pilihan untuk menyenaraikan barisan terbaik untuk diturunkan dengan memiliki Alexander Isak, Robin Quaison, Marcus Berg, Viktor Claesson atau Dejan Kulusevski apabila masing-masing memberi aksi terbaik ketika diturunkan dalam aksi peringkat kumpulan.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah, pasukan bola sepak Ukraine melepasi peringkat kumpulan di kejuaraan Eropah dan mara di peringkat kalah mati.
“Pemain berpeluang membuktikan bahawa kita hanya melakukan pemanas badan selama ini. Saya yakin mereka akan menunjukkan aksi bola sepak sebenar kepada rakyat Ukraine, kami semua percaya dengan anda (pemain),” ujar Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy di Instagram miliknya.
Pemenang perlawanan ini akan berdepan dengan England atau Jerman pada peringkat suku akhir. – AGENSI