PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan kesediaan Malaysia untuk berkongsi kejayaan dalam memacu kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Berucap secara maya pada Persidangan Peringkat Tinggi Asia Pasifik mengenai Kerjasama BRI, beliau yakin pengalaman Malaysia dapat bantu negara lain mengambil faedah bersama.
“Malaysia bersedia ‘meminjamkan’ kepakarannya dan meneroka pelbagai peluang luas untuk mengorak kerjasama dengan pelbagai negara demi menjayakan matlamat BRI,” katanya.
Persidangan tahunan ini memberi tumpuan kepada usaha memacu kerjasama sejagat bagi memastikan agihan vaksin yang lebih adil, terbuka dan tanpa berlaku sebarang diskriminasi.
Acara yang disertai lebih 30 peserta termasuk wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mempromosikan usaha lestari pembangunan hijau ke arah pembangunan yang mapan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, tumpuan kepada pandemik Covid-19 sewajarnya direbut peluang bagi meraih manfaat impak tenaga hijau menjelang pemulihan pasca wabak.
“Ia merupakan harapan Malaysia agar kita dalam mengubah pemikiran untuk beralih kepada amalan insentif pelepasan karbon rendah dan menikmati dunia yang lebih lestari,” katanya.
Beliau memberi contoh kejayaan Malaysia muncul sebagai negara pertama di dunia yang mampu menerbitkan instrumen khas bon pembiayaan kewangan Islam dikenali Sukuk Hijau.
Skim dana kedaulatan yang sudah berjaya mengumpul sebanyak AS$1.3 bilion itu jelasnya, bakal digunakan untuk menjana projek prasarana mesra alam sekitar di seluruh Malaysia.
Keyakinan minat pelbagai institusi antarabangsa terhadap bon Islamik itu turut dibantu imej Malaysia yang selama ini disegani sebagai hab Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam.
“Saya menaruh keyakinan bahawa jika kita bekerjasama dalam satu suara bersama, BRI mampu membawa imej Asia menjadi lebih kukuh di persada dunia,” tegas Hishammuddin.