PUTRAJAYA: Kerajaan menzahirkan penghargaan tinggi atas ihsan China dan Jepun yang sudi menyumbangkan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sumbangan berkenaan dapat membantu usaha Malaysia dengan perolehan cukup dalam menjayakan program berkenaan.
“Sebagai mewakili kerajaan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan ihsan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau merujuk mesej diterimanya daripada rakan sejawatan dari China, Wang Yi yang memaklumkan kerajaan negara itu bersetuju menyumbangkan 500,000 dos.
Ia membabitkan vaksin CoronaVac keluaran firma farmaseutikal China, Sinovac LifeScience Ltd. yang juga terlibat dalam PICK sejak bulan lalu melalui penghantaran akhir Februari lepas.
Langkah itu susulan kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal bulan ini untuk vaksin tersebut digunakan di seluruh dunia bagi tujuan kecemasan menerusi program Covax.
China pada masa ini sudah mengeluarkan 10 juta dos vaksin CoronaVac dan merancang bagi mencapai tiga bilion dos lagi menjelang akhir tahun ini untuk disumbangkan ke seluruh dunia.
Dalam pada itu, Hishammuddin menyambut baik pengumuman Menteri Luar Jepun, Motegi Toshimitsu yang sedia menawarkan stok vaksin dihasilkan negara itu.
Tanpa disebut berapakah jumlahnya, sumbangan negara tersebut meliputi vaksin Covishield keluaran syarikat Britain-Sweden, AstraZeneca yang dimajukan Universiti Oxford.
Kerajaan Jepun sebelum itu turut memberi sumbangan ihsan vaksin kepada Taiwan, Vietnam, Indonesia dan Filipina yang berdepan kekurangan bekalan serius pada ketika ini.
Kesemua negara berkenaan dilaporkan sudah menerima lebih sejuta dos berkenaan susulan rayuan WHO bagi segera membantu pelbagai negara yang kritikal tidak cukup bekalan vaksin.
Selain dua jenis vaksin tersebut, Malaysia turut membeli vaksin Comirnaty yang dikeluarkan firma ternama Amerika Syarikat, Pfizer BioNTech dan Sputnik V dihasilkan Gamaleya di Rusia.