Malaysia dalam perancangan peralihan tenaga - Utusan Malaysia

Malaysia dalam perancangan peralihan tenaga

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kini memberi fokus terhadap rancangan penjanaan tenaga dengan sasaran 31 peratus Tenaga Diperbaharui (RE) dalam kapasiti terpasang pada 2025 dan 40 peratus pada 2035 sebagai rancangan peralihan tenaga hingga 2040.

Menurut kenyataan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkongsi perancangan itu bersama Menteri-menteri Tenaga ASEAN dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN Mengenai Tenaga serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun secara maya hari ini.

Shamsul Anuar menambah kapasiti terpasang bagi RE Malaysia setakat ini adalah 7,995 megawatt (MW) dan menjelang 2035 kapasitinya diunjurkan meningkat sekali ganda sehingga 18,000 MW.

“Beliau juga menjelaskan bahawa untuk meningkatkan pengagihan RE dalam gabungan kapasiti tenaga, kerajaan akan memberi tumpuan kepada Semenanjung Malaysia memandangkan meliputi 80 peratus permintaan elektrik negara. Daripada 31 peratus sasaran RE pada 2025, 26 peratus adalah Semenanjung Malaysia dan 40 peratus sasaran pada 2035, semenanjung mewakili 32 peratus.

“Kapasiti RE di semenanjung diunjurkan meningkat daripada 4,430 MW ketika ini kepada 10,944 MW dalam 15 tahun akan datang. Memandangkan solar memiliki potensi tertinggi, Malaysia merancang untuk memperkenalkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), dengan jumlah kapasiti 500 MW mulai 2030 dan tahun seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat sama, Shamsul Anuar berkata dengan sasaran RE berkenaan, kepekatan pelepasan karbon disasar untuk dikurangkan 45 peratus pada 2030 dan seterusnya 60 peratus pada 2035, berbanding tahap 2005 yang merupakan selaras sasaran Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDCs) Perjanjian Iklim Paris.

Beliau turut menegaskan bahawa rancangan peralihan tenaga Malaysia perlulah mengikut kemampuan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 7 memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, mampan dan moden untuk semua.

“Sehubungan itu semasa Malaysia berusaha untuk mencapai sasaran RE yang lebih tinggi dalam gabungan kapasitinya, kita juga mempertimbangkan kemampuan rakyat terhadap peralihan tenaga dan ketahanan sistem tenaga Malaysia,” katanya.

Shamsul Anuar berkata lebih daripada 7,000 MW Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) loji janakuasa arang batu akan berakhir pada 2033 dan digantikan kebanyakannya dengan gas dan RE, yang sekali gus menurunkan pelepasan karbon Malaysia.

“Walaupun Malaysia tidak akan membangun loji tenaga arang batu baharu, KeTSA tidak menolak pilihan untuk melanjutkan operasi loji itu, namun keputusan untuk lanjutannya bergantung kepada ketersediaan teknologi di masa depan dalam mengurangkan pelepasan dan juga kos penggunaan teknologi itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Shamsul Anuar berkata memandangkan solar memiliki potensi tertinggi di Semenanjung, kebanyakan RE Malaysia akan disumbangkan oleh solar, dan pihak kementerian akan memperkenalkan skala utiliti BESS dengan jumlah kapasiti 500 MW dari 2030-2034.

“ASEAN akan terus bekerjasama dengan pelbagai rakan dialog dan organisasi antarabangsa untuk mencapai matlamat tenaga lestari. Malaysia menghargai sokongan yang diberikan oleh Jepun untuk meningkatkan lagi dasar dan programnya, yang akan membantu mengubah sistem tenaga kita ke arah pelepasan karbon yang lebih rendah.

“Malaysia mengalu-alukan Inisiatif Peralihan Tenaga Asia (AETI) Jepun dalam memberikan sokongan dari segi kepakaran, perkongsian pengetahuan dan peningkatan kapasiti ke arah pembangunan tenaga yang lestari, berpatutan dan boleh diharapkan di masa depan untuk ASEAN,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya