Poklip tidak berapa kenal dengan pelakon seorang ini, cuma menurut beberapa rakan media, dia baik orangnya. Tidak berangan diva walaupun sudah lama dalam industri. Perangai begitu yang kita mahu puji, bukan sehari dua bergelar artis terus diva.
Tetapi ada yang kurang berkenan dengan pemilihan busana oleh pelakon ini dalam sebuah drama. Terlalu seksi kata orang. Kurang manis dan sopan untuk ditonton khususnya budak-budak. Yalah, isu seksi seperti ini kan sensitif.
Poklip faham, seksi atau tidak itu terpulang kepada individu. Tiada siapa yang boleh dihalang. Kalau kita nasihat lebih-lebih nanti dijawab, kubur masing-masing. Maka, apa yang kita boleh buat cuma nasihat dengan doa-doa yang baik.
Tetapi apabila peminat juga sudah mula membanjiri ruangan komen untuk menegur, mungkin pelakon itu harus melakukan sesuatu. Bukan peminat suruh terus pakai jubah, tetapi bagi mereka mungkin pelakon itu cuba kurangkan seksi itu.
Kita pun sedia maklum, ada golongan lelaki yang panas punggung bila ada gambar pelakon berpakaian seksi. Jadi, usahlah kita menjolok sarang tebuan. Nanti bila dapat komen atau pesanan yang bukan-bukan, tahu sentap.
Kita berbaik sangka, mungkin itu kehendak watak dalam drama baharunya. Mungkin juga itu adalah permintaan pengarah. Jadi kita tak boleh hendak salahkan pelakon itu sahaja kan? Apa pun, berbalik kepada apa yang Poklip cakap tadi, seksi itu hak individu. Terpulang.