PETALING JAYA: Berang dengan keengganan ibu kandung memberinya wang bagi membeli dadah, seorang pemuda tergamak mengugut untuk mencederakan wanita itu dengan mengacukan sebilah pisau.
Tindakan M. Mahendran, 23, bagaimanapun mengundang padah setelah dipenjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret M. Barath memerintahkan hukuman penjara itu dikuatkuasakan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, dua hari lalu.
Mengikut pertuduhan, Mahendran didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap P. Kalaivaini, 50, di sebuah unit pangsapuri di Pelangi Damansara, PJU 6, Persiaran Surian di sini pukul 9 malam pada 18 Jun lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan dengan alasan dia mabuk ketika kejadian.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan serius.
“Mahkamah perlu mengambil kira mangsa dalam kes ini adalah ibu kandung tertuduh yang mana wanita itu sepatutnya dilindungi, ” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah mengamuk di rumah dan meminta wang untuk membeli dadah.
Tertuduh kemudian telah mengacukan pisau ke arah ibunya dan berkata ‘mahu duit, jika tak ada duit mahu kasi potong’. – UTUSAN ONLINE