SEREMBAN: Hasrat seorang peniaga membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 tidak kesampaian malah rugi pula sebanyak RM116,945.21 selepas terpedaya dengan penipuan pinjaman tidak wujud di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa pada 7 Jun lalu, ketika berada di rumah melayari Facebook sebuah institusi kewangan dan tertarik dengan pinjaman dengan kadar rendah yang ditawarkan.
Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 40-an menekan pautan yang tertera di akaun Facebook berkenaan dan berhubung melalui WhatsApp dengan seorang individu bernama Jackie Ang yang memintanya menghantar butiran peribadi.
“Mangsa diminta mengisi borang pemohonan secara dalam talian dan diminta menunggu tiga hari untuk kelulusan pinjaman bank. Pada 10 Jun lalu, mangsa mendapat emel yang menyatakan pinjamannya yang berjumlah RM100,000 telah lulus.
“Mangsa diminta membeli insuran pinjaman peribadi tersebut sebanyak RM1090.20 di akaun BSN di bawah penama, Muhamad Zaki Roslan bagi tempoh pinjaman ansuran selama lima tahun dan selepas itu pinjaman berkenaan akan diproses,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, semasa proses kelulusan tersebut, mangsa diperdaya untuk menjelaskan beberapa bayaran ke dalam tiga buah akaun.
Mangsa melakukan beberapa transaksi sehingga semalam dengan jumlah kerugian bagi penipuan pinjaman tidak wujud yang dipohonnya pada 7 Jun lalu itu sebanyak adalah sebanyak RM42,425.21.
Menurut Aibee lagi, bagi permohonan kali kedua yang dibuat pada 8 Jun lalu, mangsa telah tertarik pada tawaran di akaun Facebook yang sama dan telah berhubung melalui WhatsApp dengan seorang individu bernama Sharon Ang.
“Mangsa diperdaya dengan cara yang sama dan melakukan beberapa transaksi ke lebih empat akaun. Pada permohonan kali ini, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM74,520.
“Sehingga sekarang mangsa masih diminta untuk membuat bayaran bagi pelbagai proses kelulusan pinjaman dan mangsa akhirnya menyedari dirinya tertipu lalu membuat laporan polis di Balai Polis Mantin,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE