KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkkan 27 Ogos ini bagi pengurusan kes saman bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tarikh itu bagi membolehkan mahkamah mengetahui status kesihatan salah seorang pegawai polis berdasarkan laporan pakar sama ada saksi itu berupaya memberi keterangan perbicaraan kelak.
Hari ini dijadualkan untuk pengurusan kes saman Khairuddin di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din yang kemudian memaklumkan agar pengurusan kes selanjutnya dijalankan melalui e-mel.
Khairuddin selaku plaintif diwakili peguam Nurul Huda Razali manakala defendan-defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi dan Peguam Persekutuan Mohd. Ashraf Abd. Hamid.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon sebelum ini mendengar keterangan bahawa plaintif merupakan pencetus kepada pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Namun demikian, tiada tindakan efektif yang diambil menyebabkan Khairuddin ke Eropah untuk melaporkan isu tersebut dalam bidang kuasa syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan 1MDB di
England, Perancis dan Switzerland.
Mahkamah turut diberitahu, sekembalinya dari luar negara, Khairuddin telah ditahan pada 18 September 2015 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebelum memperoleh perintah pembebasan pada 18 November 2015.
Dia turut didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara sebelum dibebaskan pada 12 Mei 2017.
Secara keseluruhan, Khairuddin selaku plaintif telah ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh.
Dalam tuntutan samannya, Khairuddin menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam lagi.
Selain Khalid, tiga pegawai polis lain ialah Asisten Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintenden C. Muniandy dan Superintenden Habibi Majinji yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.
Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohamed Apandi dan Kerajaan
Malaysia.
Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan
jumlahnya, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.