Mahkamah batal punca kematian Nora Anne sebab 'misadventure' - Utusan Malaysia

Mahkamah batal punca kematian Nora Anne sebab ‘misadventure’

AZIZUL Azmi Adnan (bawah) ketika membacakan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang dijalankan secara penstriman langsung dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban di sini memutuskan kematian remaja perempuan Perancis-Ireland, Nora Anne Quoirin dua tahun lalu bukan disebabkan peristiwa malang (misadventure).

Hakim Azizul Azmi Adnan sebaliknya membatalkan keputusan Koroner berkaitan punca kematian remaja itu pada 2019 dan menggantikan kepada keputusan terbuka.

Azizul Azmi ketika membuat rumusan berkaitan kes tersebut berkata, setelah membuat penelitian mahkamah mendapati Koroner Maimoonah Aid membuat kesilapan setelah memutuskan kematian Nora Anne disebabkan ‘misadventure’ setelah tiada bukti untuk menyokong keputusan lain.

Beliau berkata, Koroner Maimoonah Aid sebelum ini menjalankan tugasnya dengan baik namun telah keliru untuk menetapkan keputusan itu sebagai ‘misadventure’.

“Pada pandangan saya, tidak mungkin Nora Anne telah keluar dari Sora House sendirian atau pergi ke kawasan yang mencabar dan di sekitar lokasi itu sendiri, selain mengelak dikesan selama enam hari tempoh pencarian sebelum mayatnya ditemukan.

“Adalah mustahil bagi Nora Anne yang mempunyai daya keseimbangan dan koordinasi yang lemah selain sukar berjalan untuk menempuh perjalanan ke lokasi kejadian dengan keadaan fizikalnya itu (tidak seperti manusia normal lain),” katanya ketika membacakan keputusan itu.

Prosiding keputusan Nora Anne oleh Mahkamah Tinggi itu dijalankan secara penstriman langsung dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pada 4 Januari 2021 lalu, Maimoonah yang mengendalikan prosiding inkues kematian Nora Anne merumuskan kematian remaja itu adalah akibat ‘misadventure’ dan tiada penglibatan mana-mana individu dalam kematian itu.

Jelas Azizul Azmi, seseorang harus menyeberangi aliran sungai berbatu dan melalui cerun yang curam untuk sampai ke lokasi mayat Nora Amne ditemukan dan perkara itu pasti sukar dilakukan gadis itu.

“Secara emosionalnya, Nora Anne sentiasa bersama ibu bapanya, dia juga tidak selesa dengan orang yang tidak dikenali, dengan fakta-fakta ini membuktikan bahawa tidak mungkin untuk Nora Anne keluar sendirian.

“Oleh itu, saya mengemukakan keputusan terbuka dan keputusan ‘misadventure’ dikembalikan kepada pihak koroner,” katanya.

Pad 5 Februari, ibu bapa Nora Anne mengemukakan permohonan untuk meminta pihak mahkamah membuat semakan semula keputusan Mahkamah Koroner.

Prosiding inkues kes kematian remaja perempuan yang dijalankan sejak 24 Ogos hingga 10 Disember lalu itu membabitkan 47 saksi termasuk ibu bapa remaja berkenaan, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin.

Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemukan sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya