GEORGETOWN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak menolak kemungkinan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek tambakan laut di perairan selatan negeri ini (PSR).
Timbalan Menteri II kementerian itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara berkenaan adalah antara peranan dan tugas yang boleh diambil pihaknya melihat kepada kesan buruk projek tersebut khususnya kepada hasil pengeluaran ikan negara.
“Kemungkinan itu (meminta EMP tidak diluluskan) memang sentiasa ada. Kita akan lebih cuba meneliti apa-apa peranan dan tugas yang boleh kita laksanakan (dalam memastikan projek PSR dibatalkan),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat tinjauan dan bertemu komuniti nelayan di Sungai Batu dan Teluk Kumbar, di sini yang bakal terjejas secara langsung dengan projek PSR dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corp Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus dilaporkan berkata, pihaknya menunggu JAS memberi ‘lampu hijau’ kepada EMP yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat sebelum melaksanakan projek PSR, sesuai dengan garis panduan yang diluluskan.
Bagaimanapun, JAS dalam kenyataan menafikan perkara itu dan memaklumkan jabatan tersebut belum menerima EMP mengikut turutan asal projek selepas EMP dikemukakan sebelum ini tidak sama seperti dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lulus pada 25 Jun 2019.
Dalam pada itu, Che Abdullah menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melihat isu projek PSR dalam skop yang lebih besar iaitu kesan jangka panjang kepada para nelayan dan habitat hidupan marin di kawasan yang akan ditambak.
Beliau difahamkan projek PSR mengancam sebanyak 87 spesies hidupan laut antaranya bawal putih, bawal tambak, udang kaki merah, udang harimau dan udang putih yang mana spesies itu mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan.
Selain itu, katanya, hasil pendaratan perikanan dari kawasan PSR dan kawasan yang bakal terkesan dengan projek itu dianggarkan sebanyak 13,418.11 tan metrik setahun atau 24.5 peratus dari keseluruhan hasil pendaratan Pulau Pinang.
“Saya meneliti maklum balas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini khususnya berhubung menyediakan alur atau laluan kepada nelayan untuk ke laut sekiranya projek itu diteruskan.
“Saya tidak faham kenapa isu ini dibawa kepada perbincangan sangat kecil seperti itu, sedangkan kita melihat berkenaan kerosakan keseluruhan habitat perikanan, tentang nelayan yang hilang punca rezeki yang tidak akan terbayar dengan apa-apa nilai pampasan atau ex-gratia kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Che Abdullah turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Kon Yeow berhubung sumbangan sumber perikanan dari kawasan projek PSR yang hanya menyumbang sebanyak dua peratus kepada sumber perikanan negara.
“Beliau sebagai Ketua Menteri sepatutnya bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menambah baik sumber perikanan serta meningkatkan lagi pendaratan di kawasan tersebut.
“Secara tidak langsung inisiatif ini dapat menaikkan lagi tahap sara diri (SSL) ikan negara dan memperkukuhkan sekuriti makanan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE