KUALA LUMPUR: Pelakon, Luqman Hafidz, merasa sebak dengan pengunduran bintang Korea, Lee Kwang Soo daripada kumpulan Running Man selepas 11 tahun bersama.
Menurut Luqman, figura hebat itu merupakan idola dan rujukannya dalam bidang komedi, malah katanya kumpulan itu juga banyak membantu dalam menelusuri hidupnya.
“Lee Kwang Soo, episod akhir (559). Perkara ini mungkin nampak biasa saja pada orang lain, tapi emosi untuk saya. Running Man banyak bantu saya sepanjang meniti liku-liku hidup getir.
“11 tahun saya setia mengikuti rancangan itu dan Kwang Soo ialah sebab utamanya. Dia mempunyai personaliti yang menghiburkan, kelakar, ambil berat, dan bersahaja di sepanjang program itu berlangsung. Disukai ramai.
“Dalam kerjaya seni lakonan kalau bidang komedi, dia antara rujukan saya. Sekarang ini pula dia dah undur diri. Terima kasih atas segalanya dan untuk Running Man. Terima kasih kerana menghiburkan,” katanya yang akan tetap setia menyokong perkembangan karier seni bintang Korea itu.
Sebagai informasi, Lee Kwang Soo membuat keputusan itu kerana memerlukan masa untuk pemulihan selepas mengalami kecederaan pada bahagian buku lalinya akibat kemalangan tahun lalu.