KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal tampil dengan program realiti televisyen baharu dikenali sebagai ‘Luar Biasa’ yang memaparkan kisah serta pengalaman peserta menerusi inisiatif ‘Return To Work (RTW)’ bermula Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata program 13 episod itu akan ditayangkan pada setiap hari Jumaat jam 9 malam di saluran 105 Astro Prima dan merupakan rancangan keempat terbitan agensi berkenaan yang memaparkan kejayaan RTW.
“Dalam kita berjuang memerangi pandemik COVID-19, Perkeso sekali lagi mengulangi kejayaan untuk menerbitkan program televisyen yang mengisahkan perjalanan peserta RTW mengharungi liku-liku kehidupan setelah mengalami musibah, kemalangan atau penyakit.
“Program Luar Biasa juga mengisahkan tentang orang yang diinsuranskan oleh Perkeso bangkit daripada bencana dan kesengsaraan dan kini mampu berdikari, malah menyumbang tenaga serta bakti kepada masyarakat,” katanya ketika melancarkan program tersebut secara virtual, semalam.
RTW yang diperkenalkan oleh Perkeso pada 2007 merupakan program pengurusan hilang upaya bagi membantu memulihkan pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat dengan melalui beberapa proses pemulihan fizikal atau latihan.
Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata sejak diperkenalkan sehingga 14 Mei lalu, seramai 36,159 peserta berjaya dibantu untuk kembali ke dunia pekerjaan hasil daripada kerjasama dengan semua pemegang taruh.
“Maka, dalam usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan program RTW ini, usaha penerbitan program Luar Biasa merupakan langkah terbaik bagi mempromosi serta memberi pemahaman terhadap aktiviti Perkeso,” katanya.
Berkonsepkan sesi bual bicara santai dengan unsur sketsa, program realiti ini juga menggandingkan dua selebriti terkenal tanah air, Norman Hakim dan Shiha Zikir sebagai pasangan pengacara.
Sesi perbincangan dalam setiap episod mengetengahkan beberapa topik diskusi yang menarik dan pelbagai bersama barisan tetamu jemputan yang terdiri daripada pakar, selebriti dan juga pengurusan kanan Perkeso.
Program ini turut menyelitkan peranan dan aktiviti yang dijalankan di bawah Program RTW Perkeso selain turut menyajikan maklumat terkini berkaitan skim-skim perlindungan dan inisiatif terbaharu Perkeso kepada penonton.
Selain itu, penonton juga berpeluang untuk menyaksikan program tersebut menerusi saluran YouTube dan Facebook Perkeso tiga hari selepas ia disiarkan di saluran 105 Astro Prima.