MELAKA: Pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu pertama di Melaka dijangka mula beroperasi hujung bulan ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, LTAM merupakan antara tujuh lokasi PPV baharu yang dibuka bagi mempercepatkan pemberian vaksin.
Beliau berkata, lokasi itu boleh menampung kira-kira 800 penerima dalam satu-satu masa.
“Sebelum ini kita telah memilih lokasi Dewan Tun Ali untuk PPV pandu lalu, namun atas penilaian Kementerian Kesihatan tempat itu dikatakan tidak sesuai kerana kesesakan penerima di sana.
“LTAM dilihat lebih sesuai dan ia boleh menampung 800 penerima dalam satu-satu masa. Dijangka PPV pandu lalu itu akan dibuka dalam masa dua hingga tiga minggu lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau PPV Ayer Molek di sini hari ini.
Tambahnya, enam PPV lain dijangka beroperasi bermula Khamis ini termasuk PPV Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Klebang, PPV Sungai Udang, PPV Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, PPV Dewan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), PPV Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) dan PPV Dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Bukit Beruang.
“Untuk permulaan PPV pandu lalu LTAM itu akan memfokuskan kepada senarai penerima dos kedua vaksin di CTRM.
“Kemudian barulah kita akan meneruskan dengan penerima-penerima baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini seramai 647 warga emas telah menerima vaksin menerusi program PPV bergerak di 20 lokasi pusat jagaan.
Sehingga semalam, seramai 23,041 individu direkodkan menerima vaksin dengan 51,864 telah disuntik dos pertama manakala 14,832 selesai menerima kedua-dua dos.
“Sehingga kini kita mempunyai 38 lokasi PPV termasuk unit bergerak yang boleh menampung seramai 7,500 individu dalam sehari.
“Menerusi pembukaan tujuh lagi PPV baharu ini, kita berharap dapat mencapai sasaran 70 peratus rakyat Melaka selesai menerima vaksin menjelang Disember ini,” jelasnya.