PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) menawarkan beberapa insentif tambahan kepada usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, penularan wabak dan pelaksanaan arahan sekatan pergerakan penuh memberi kesan kepada semua kumpulan sasar terutamanya usahawan dan peniaga kecil di LKW.
Katanya, kesan langsung tersebut melibatkan lima agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
“Kesan dan impak seperti berikut iaitu kemerosotan prestasi perniagaan, kemerosotan permintaan dan penawaran produk, kekurangan stok bahan mentah, pengeluaran produk yang terhad, kesukaran membayar sewa premis perniagaan dan kesukaran membayar balik pinjaman perniagaan.
“Insentif-insentif yang ditawarkan oleh LKW mulai Mei hingga Julai 2021 adalah seperti pengecualian bayaran premis perniagaan, penangguhan bayaran sewa rumah, pengecualian bayaran sewa tanah, penangguhan bayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula dan memperluas program-program keusahawanan di Agensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Latiff, jumlah keseluruhan implikasi kewangan melibatkan lima LKW itu adalah sebanyak RM7,590,650.60, manakala jumlah anggaran penerima manfaat termasuk isi rumah adalah seramai 3,256 orang.
“Kementerian berharap dengan pelaksanaan insentif ini dapat membantu mereka yang terjejas di LKW bagi meringankan beban dan juga meningkat semula ekonomi mereka,” katanya. – UTUSAN