SUNGAI PETANI: Polis menahan lima lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah selepas menyerbu dua buah rumah di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga lelaki berusia 21 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Keladi di sini pada pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, hasil tangkapan pertama ketiga-tiga suspek mengaku telah melakukan pecah rumah dan menjual hasil pecah rumah terbabit kepada dua lelaki lain.
“Berdasarkan maklumat tersebut, dua lagi lelaki berusia 29 dan 61 tahun telah ditahan dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Petani Jaya pada pukul 1 petang.
“Hasil soal siasat, suspek berusia 29 tahun itu mengaku telah menjadi orang tengah untuk menjual barang-barang hasil pecah rumah tersebut kepada suspek yang berusia 61 tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, dalam tangkapan pertama itu polis telah merampas sebuah motosikal jenis SYM serta tiga helai baju dipercayai digunakan oleh ketiga-tiga suspek ketika melakukan pecah rumah.
“Bagi tangkapan kedua pula, polis telah merampas sebuah peti ais jenama Panasonic, sebuah mesin basuh jenama Samsung, sebuah televisyen jenama Haeir dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC,” ujarnya.
Adzli berkata, hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes jenayah.
“Kes sedang disiasat di Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” ujarnya. – UTUSAN