SUNGAI PETANI: Lima termasuk dua wanita masing-masing dikompaun RM4,000 selepas didapati berkumpul pada majlis kenduri kelahiran cucu di Kampung 11, Sungai Lalang Bedong, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga lelaki berusia antara 56 hingga 61 tahun manakala dua wanita berusia 19 dan 49 tahun dikenakan tindakan tersebut kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, tiga daripada mereka merupakan adik-beradik manakala dua lagi tetamu ditahan pada pukul 9 malam.
Katanya, polis yang sedang membuat tugas Pemantauan Ops Covid 19 PKP di sekitar pentadbiran Bedong telah menerima aduan daripada orang awam sebelum menghala ke sebuah rumah tersebut.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, kesemua mereka sedang berkumpul dan tidak mematuhi penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kelima-lima mereka dikompaun RM4,000 seorang mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.
“Mereka diterangkan perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah,” katanya.