MELAKA: Polis merampas lapan laras senapang tiruan dan menahan lima lelaki selepas dipercayai aktif membuat dan menjual pelbagai jenis senjata menyerupai senjata api di Jasin, semalam.
Kesemua suspek berusia 35 hingga 64 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil risikan, operasi dilakukan antara pukul 10 malam sehingga 8 pagi.
“Pasukan JSJ Bukit Aman telah memantau beberapa lokasi sasaran sejak pukul 2 petang sebelum menyerbu premis-premis terlibat pada pukul 10 malam.
“Hasil serbuan, sebanyak lapan laras senapang tiruan menyerupai senjata api dijumpai dan susulan itu JSJ Bukit Aman menahan lima lelaki termasuk seorang berusia 35 tahun dipercayai dalang pembuatan senjata tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
Abdul Majid berkata, hasil soal siasat mendapati, suspek mendakwa menghasilkan senjata tiruan itu bagi tujuan memburu haiwan.
“Dia yang melakukan kerja-kerja kampung memberitahu senjata tiruan itu dijual kepada kenalan rapat bagi tujuan memburu haiwan di hutan. Kita percaya kegiatan itu telah dilakukan suspek lebih dari setahun,” jelasnya.
Tambahnya, rampasan tersebut adalah yang terbesar setakat ini membabitkan kesalahan senjata api tiruan.
Dalam serbuan sama, polis turut menemukan dan merampas 14,800 batang rokok tidak bercukai dengan nilai anggaran pasaran RM13,170.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.