PORT DICKSON: Keluarga lima beradik di Bandar Sunggala, dekat sini yang menjadi yatim piatu baru-baru ini setelah kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.
Nenek kepada lima beradik berkenaan, Faridah Md. Shahar, 75, berkata, dia terharu menerima kunjungan tersebut dan menyifatkannya sebagai sokongan buat mereka sekeluarga.
Menurutnya, sejak dirawat di Hospital Tampin juga kerana disahkan positif Covid-19, hatinya runsing memikirkan keadaan lima cucunya itu.
“Sejak kesemua mereka menjadi yatim piatu, kami tidak putus-putus menerima bantuan dan kali ini saya terkejut apabila menteri juga sudi datang ke rumah melihat keadaan kami,” katanya ketika ditemui pemberita dalam kunjungan berkenaan di Bandar Sunggala, di sini.
Sementara itu, Zulkifli berkata, keluarga berkenaan berhadapan dengan ujian yang luar biasa apabila sekelip mata bergelar anak yatim piatu.
“Hari ini sempena Program Dengar, saya ambil inisiatif menziarahi sendiri keluarga ini dan menghulurkan bantuan. Kami akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan.
“Melihat kepada ketabahan, kesungguhan dan keredaan keluarga ini saya yakin di hujung sana terdapat sinar yang membawa kebaikan, kebahagian dalam keluarga mereka,” katanya.
Dalam kunjungan itu juga, beliau turut menyampaikan bantuan wang tunai dan barangan dapur.
Utusan Malaysia pada 8 Jun lalu melaporkan lima beradik di Bandar Sunggala dekat sini ‘kehilangan’ ibu bapa masing-masing apabila kedua-dua orang tua mereka itu meninggal dunia akibat Covid-19.
Abang sulung adik beradik itu, Muhammad Haidir Rodzi, 23, berkata, bapanya, Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia pada 31 Mei lalu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin manakala ibunya pula, Nazita Idris, 45, meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada 6 Jun.
Empat orang adik beradiknya yang lain ialah Muhammad Hairie, 20, Nurhairieka, 18, Muhammad Haiqiel, 13, dan Muhammad Khierzamani, 7. – UTUSAN ONLINE