PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memaklumkan bahawa Giant Panda bernama Liang Liang selamat melahirkan seekor anak semalam lebih kurang pukul 8.30 malam di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara.
Menurut kenyataannya, kelahiran tersebut merupakan kali ketiga bagi Liang Liang iaitu panda betina dan pasangannya Xing Xing iaitu panda jantan sejak berada di Malaysia pada tahun 2014.
“Anak pertama dan kedua iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi dilahirkan masing-masing pada 18 Ogos 2015 dan 14 Januari 2018,” katanya.
Bagaimanapun tambahnya, jantina anak panda itu masih belum dapat dikenal pasti kerana ia masih di bawah jagaan rapi ibunya dan tidak dapat didekati.
“Petugas Zoo Negara akan terus memantau dan mengawasi Liang Liang dan anaknya bagi tempoh 24 jam.
“Kelahiran anak Giant Panda kali ketiga ini merupakan satu lagi kejayaan kepada usaha konservasi Giant Panda di bawah Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China yang dimeterai pada tahun 2012,” katanya. – UTUSAN