KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tindakan saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak kerana gagal membayar tunggakan cukai pendapatan melebihi RM1.7 bilion, bukan berdasarkan campur tangan politik.
Sebaliknya, LHDN menghujahkan, agensi itu mempunyai hak sejak dahulu lagi untuk menguatkuasakan perintah mahkamah dalam kes-kes yang melibatkan kegagalan pembayaran cukai.
Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad berhujah, prosiding pembayaran tunggakan cukai yang difailkan terhadap bekas Perdana Menteri merupakan proses biasa yang dilaksanakan oleh LHDN.
Hujah beliau, selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman terus pada 22 Julai tahun lalu, pihaknya telah menunggu selama lapan bulan agar Najib membayar tunggakan cukai pendapatan sebelum memfailkan notis kebankrapan pada 4 Februari lalu.
“Kami bukannya memfailkan permohonan dalam keadaan tergesa-gesa melainkan LHDN telah menunggu selama hampir lapan bulan namun tiada perbincangan dilakukan bagi membolehkan tunggakan itu dijelaskan,” jelas Norhisham.
Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membantah pelaksanaan pembayaran tunggakan itu atas alasan pihaknya telah membuat rundingan semula mengenainya.
Bagaimanapun jelas beliau, rundingan itu tidak berjaya dan LHDN meneruskan dengan memfailkan notis kebankrapan terhadap anak guamnya dalam keadaan tergesa-gesa.
Hujah Muhammad Shafee, bekas Perdana Menteri itu akan kehilangan segala-galanya termasuk pencen, kedudukan dalam politik manakala harta-hartanya akan dilelong.
Hakim Datuk Ahmad Bache kemudian menetapkan Isnin ini bagi keputusan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran tunggakan cukai iaitu sebelum rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan pada 16 Jun ini.
Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Julai tahun lalu yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.
Hakim Ahmad mengarahkan beliau membayar tunggakan cukai tambahan itu bagi tempoh 2011 hingga 2017 atas alasan tunggakan itu merupakan hutang kepada negara yang perlu dijelaskan.
Pada 31 Mei lalu, bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan untuk membatalkan notis kebankrapan dan menggantung prosiding tersebut yang didakwanya merupakan taktik konspirasi bertujuan merosakkan karier politiknya.
Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai tahun lalu (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari lalu iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000.
Setakat 4 Februari lalu, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.