TANJUNG MALIM: Seorang penunggang motosikal maut setelah dihempap sebatang pokok yang tumbang berhampiran persimpangan lampu isyarat dekat Taman Universiti, di sini petang tadi.
Kejadian ketika hujan lebat dan angin kencang itu mengakibatkan mangsa, Chin Kock Heng, 67, cedera dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang bekerja di kebun sayur di Kampung Simpang Empat dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Ketoyong di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd. Zairul Fahmi Mohd. Nazari berkata, sembilan anggota bersama sebuah jentera ditugaskan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 4.41 petang.
Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati sebatang pokok telah tumbang secara melintang dengan mangsa terbaring di atas jalan.
“Pokok tersebut telah menghempap mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal. Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja pembersihan pokok tumbang itu dijalankan oleh anggota bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sehingga operasi tamat pada pukul 5.32 petang. – UTUSAN