PETALING JAYA: Gerakan memburu seorang lelaki pelaku pedofilia giat dilakukan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Buruan itu dilakukan susulan satu laporan dibuat seorang wanita berusia 40 tahun, kira-kira pukul 11.15 pagi, Isnin lalu berhubung kejadian seksual membabitkan dua anak lelakinya di sebuah pangsapuri di kawasan Seksyen 19 dekat ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian terbabit, dua beradik berusia lapan dan sembilan tahun itu sedang menaiki tangga untuk menjual kuih di kediaman mereka.
Bagaimanapun, datang seorang lelaki berusia lingkungan 20-an secara tiba-tiba lalu menarik tangan mangsa sebelum melakukan kelucahan melampau terhadap kedua-dua mangsa.
“Sejurus selepas itu, kedua-dua mangsa yang ketakutan berlari pulang ke rumah sambil menangis.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Mohamad Fakrudin, lakaran fotofit telah dibuat oleh mangsa.
“Hasil diskripsi suspek mendapati, lelaki tersebut berusia lingkungan 26 tahun dan mempunyai ketinggian 168 sentimeter.
“Tubuh badan suspek juga adalah kurus selain mempunyai mata dan rambut pendek berwarna hitam. Bagaimanapun bangsa suspek tersebut tidak dapat dipastikan,” katanya.
Sehubungan itu jelas beliau, IPD Petaling Jaya memohon kerjasama daripada orang awam khususnya dalam daerah ini yang mengetahui tentang kejadian atau mengenali diskripsi suspek seperti yang dinyatakan agar tampil ke balai polis berhampiran.
“Mereka yang mempunyai maklumat juga boleh berhubung terus dengan pengawai penyiasat jenayah Inspektor, M. Naresh Kumar di talian 016-975 7113,” katanya.