Lelaki Nigeria, isteri didakwa alihkan wang RM4,080 ke dalam akaun orang lain - Utusan Malaysia

Lelaki Nigeria, isteri didakwa alihkan wang RM4,080 ke dalam akaun orang lain

Senjata
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang lelaki warganegara Nigeria dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini, hari ini terhadap tuduhan memindahkan wang berjumlah RM4,080 ke dalam akaun seorang wanita, Mac lalu.

Adetola David Gbolahan, 36, dan isterinya  Sopiah Jamaludin, 48, yang merupakan rakyat tempatan meminta dibicarakan  selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama secara  curang mengalihkan wang RM4,080 dalam milikan seorang lelaki yang kemudian dimasukkan ke akaun seorang wanita melalui tiga transaksi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Cawangan Ambank, Kompleks Ampang Point, pukul 1 petang pada 31 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan alternatif iaitu dengan curang mengalihkan wang itu pada waktu dan di tempat yang sama, di mana mereka tidak dapat memberi penjelasan yang munasabah berhubung pengeluaran wang tersebut.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seskyen 34 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Adetola memandang tertuduh warganegara asing manakala jaminan RM7,000 dikenakan terhadap isterinya.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Rahmat Hazlan memohon jaminan diberikan terhadap kedua-duanya atas alasan mereka tiada risiko melarikan diri selain memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Farah Nasihah kemudian membenarkan tertuduh Adetola diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin dan jumlah sama terhadap Sopiah dengan seorang penjamin.

Tarikh 28 Julai ini ditetapkan untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya