RANAU: Seorang lelaki maut dihempap runtuhan batu ketika sedang beristirahat di dapur rumahnya di Kampung Pinousuk, Kundasang, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Junaidi Gangka,55, bersama isterinya sedang berehat di dapur sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat yang menghempap bumbung rumahnya.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, runtuhan batu yang berlaku menyebabkan mangsa terperangkap dalam runtuhan manakala isteri bersama dua anak mereka menyelamatkan diri.
Katanya, mangsa yang tertimbus dikeluarkan dengan bantuan beberapa orang pekebun yang berada di kawasan berhampiran.
Kemudian, mangsa terus dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.
“Siasatan masih diteruskan dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE