GEORGETOWN: Seorang lelaki dipercayai tokan dadah yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan merempuh seorang pejalan kaki hingga maut ditahan reman selama enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, siasatan kes tersebut juga akan dijalankan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
“Tempoh tahanan reman ke atas suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput itu akan dijalankan bermula hari ini sehingga 21 Jun (Isnin).
“Keputusan ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atasnya semalam juga didapati positif methamphetamine dan amphetamine (AMP),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau memberitahu, pihaknya juga masih menunggu keputusan bedah siasat mayat seorang warga emas berusia 61 tahun itu.
Terdahulu, suspek yang mengenakan kemeja dan berseluar pendek berwarna putih dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Pulau Pinang dalam keadaan kedua-dua tangan bergari pada pukul 10.45 pagi.
Semalam, lelaki yang beralamat di Jalan Kampung Melayu, Ayer Itam itu diberkas polis di kawasan perumahan E Park, Batu Uban selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pada pukul 6.40 pagi.
Susulan penahanan suspek, polis turut menemukan tiga paket heroin AB dengan anggaran berat 13 gram pada badannya.