BALING: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya di Kampung Masjid Pulai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsuddin Mamat berkata, mayat Zakaria Ahmad, 68, ditemukan oleh jirannya setelah terhidu bau busuk di rumah mangsa kira-kira pukul 8 malam.
“Ketika itu jirannya berada di rumah dan terbau sesuatu yang busuk dari rumah mangsa.
“Mereka kemudian terus ke rumah mangsa dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dan segera memaklumkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan, mangsa yang tinggal seorang diri itu dipercayai meninggal dunia kira-kira empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat tersebut yang mula membengkak.
“Tiada sebarang unsur perbuatan jenayah pada mayat dan tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim dekat sini untuk bedah siasat.