PUTRAJAYA: Disyaki menerima rasuah pelbagai bentuk berjumlah kira-kira RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan kontrak, seorang penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, difahamkan suspek berkenaan menerima suapan, antara tahun 2016 hingga kini berbentuk wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000 selain barang kemas dan tanah lot berkeluasan dua ekar.
Bukan itu sahaja, ganjaran lain yang didakwa diterima suspek adalah rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan projek bekalan am, perkhidmatan dan pengangkutan di kementerian terbabit.
“Suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pada pukul 9 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, perintah reman lima hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE