PASIR GUDANG: Seorang kanak-kanak yang dipercayai sedang bermain berhampiran longkang dan seorang lelaki yang bertindak cuba menyelamatkannya ditemukan lemas berdekatan Masjid Taman Cendana, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang ditemukan lemas itu berusia 13 dan 32 tahun.
Menurut beliau, seorang lagi kanak-kanak yang dianggarkan berusia sembilan tahun masih dicari.
“Polis menerima laporan bahawa terdapat tiga termasuk dua kanak-kanak jatuh ke dalam longkang dan dibawa arus deras di lokasi kejadian pada pukul 4.12 petang.
“Saksi awam memaklumkan kanak-kanak berkenaan bermain di sekitar longkang tersebut dan terjatuh sebelum seorang lelaki bertindak terjun ke dalam longkang untuk cuba menyelamatkan mereka.
“Lelaki yang berusia 32 tahun itu bagaimanapun turut dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, longkang berkenaan dianggarkan sedalam dua meter.
“Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa terus digerakkan dan sehingga pukul 6 petang hari ini, dua mangsa ditemukan.
“Dalam perkembangan terkini, didapati hanya seorang kanak-kanak yang terjatuh ke dalam longkang. Bagaimanapun usaha mencari kanak-kanak itu sedang dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE