Lelaki bantu polis tahan tiga suspek pecah rumah jiran - Utusan Malaysia

Lelaki bantu polis tahan tiga suspek pecah rumah jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Tindakan pantas seorang lelaki yang menghubungi polis selepas menyedari rumah jirannya dipecah masuk membantu polis menahan tiga suspek yang terlibat dalam jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kejadian yang berlaku di Jalan Matahari, Indahpura di sini itu dilaporkan kepada pihaknya pada pukul 2.40 pagi.

Menurut beliau, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan rumah jirannya sedang dipecah masuk.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis daripada Team Lejang bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun.

“Berdasarkan tunjuk arah daripada suspek itu, polis membuat serbuan di tiga lokasi berlainan sekitar daerah ini sebelum berjaya menahan dua rakan jenayah suspek yang masing-masing berusia 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Beng Yeow, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah pecah rumah.

“Berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam lima kejadian pecah rumah di sekitar Kulai.

“Ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine selain kesemua mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Ketiga-tiga suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Polis juga sedang menjalankan siasatan untuk mengesan rakan-rakan sejenayah selain penglibatan mereka dalam kes jenayah lain,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya