Lelaki ajak anak saudara 17 tahun menyamun diberkas  - Utusan Malaysia

Lelaki ajak anak saudara 17 tahun menyamun diberkas 

MISPANI Hamdan (dua dari kiri) menunjukkan barang-barang yang dirampas dalam serbuan berasingan di Jalan Segenting dan Kampung Bukit Larang, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang lelaki dan anak saudaranya diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun seorang peniaga pasar mini dalam dua serbuan di sini, Sabtu lalu. 

Lelaki berumur 30 tahun dan remaja lelaki yang baru berusia 17 tahun ditahan di rumah  masing-masing di Jalan Segenting serta Kampung Bukit Larang antara pukul 1.30 pagi sehingga 5.30 petang. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, kedua-dua suspek diberkas selepas polis menerima satu laporan berhubung kejadian samun menggunakan senjata pisau pemotong daging di Taman Jasin Bestari, Bemban pada 11 Jun lalu. 

Katanya, dalam kejadian tersebut, pengadu yang merupakan peniaga wanita sebuah pasar mini berusia 55 tahun telah mengalami kecederaan di tangan kiri akibat bergelut dengan suspek yang melarikan telefon bimbitnya. 

“Hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berjaya memberkas suspek pertama berusia 30 tahun dan anak saudaranya berusia 17 tahun. 

“Kejadian ini didalangi suspek pertama yang tmembawa remaja itu menunggang motosikal untuk melakukan samun dengan menyasarkan kedai runcit,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jasin di sini, hari ini. 

Jelasnya, hasil semakan lanjut mendapati, suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan samun dan dadah dalam kejadian di Kuala Lumpur. 

“Sebelum ini dia bekerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur dan mempunyai tiga rekod samun membabitkan kedai serbaneka 24 jam di Kuala Lumpur dan kesalahan dadah. 

“Suspek kemudian pulang ke kampung dan melakukan jenayah sama, namun kali ini dia turut mengajak anak saudaranya yang berusia 17 tahun,” ujarnya.

Tambahnya, hasil samun itu akan dijual suspek bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah. 

Mispani berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. 

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya