Lebih had pekerja, kilang padi dikompaun RM10,000

Lebih had pekerja, kilang padi dikompaun RM10,000

AHMAD Adnan Basri (kanan) mendengar penerangan daripada anggota Imigresen semasa Op Pematuhan SOP PKP 3.0 di daerah Hilir Perak di Teluk Intan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebuah kilang pemprosesan padi di Langkap di sini, dikompaun RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan beroperasi melebihi had kehadiran 60 peratus pekerja.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemilik premis itu turut dikompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) kerana tiada lesen menjalankan perniagaan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, dua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan pihaknya dalam Op Pematuhan SOP PKP 3.0 di daerah ini bermula pukul 10.30 pagi hingga 3 petang.

“Dalam operasi ini, kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 19 buah kilang dan mendapati terdapat sebuah kilang yang beroperasi dengan had kehadiran lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja.

“Kilang sama juga didapati tiada lesen perniagaan yang sah selain seorang pekerja sebuah kilang membuat pakaian turut dikompaun RM1,500 kerana gagal melakukan imbasan MySejahtera,” katanya ketika ditemui pemberita pada 0p Pematuhan SOP PKP 3.0 di sektor perkilangan dan pembuatan, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, hasil pemeriksaan juga mendapati tiada kilang atau syarikat yang beroperasi tanpa kebenaran atau diarah tutup.

Katanya, pihak kilang telah dinasihati agar memahami dan mengamalkan SOP ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi sektor pengilangan dan pembuatan sepanjang tempoh PKP.

“Operasi yang dijalankan ini bagi memastikan sektor pengilangan dan pembuatan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MITI dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“Melalui operasi ini, kita memberi nasihat dan cadangan kepada pihak berkenaan bagi penambahbaikan pengurusan pencegahan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya.

Operasi berakhir pukul 3 petang itu disertai polis, Kementerian Kesihatan (KKM), MPTI, MKN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya