PETALING JAYA: Sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) akan dibuka tidak lama lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 45 PPV IPT beroperasi pada masa akan datang.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penambahan tersebut adalah komitmen kementeriannya terhadap Pelan Pemulihan Negara dalam misi mencapai imuniti kelompok di seluruh negara.
“Kementerian Pengajian Tinggi terus komited membantu Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kementerian giat untuk terus menambah jumlah PPV IPT dalam usaha untuk mewujudkan imuniti kelompok dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam program rintis Pusat Pemberian Vaksin Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Batu Pahat, Johor, hari ini.
Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) yang sudi memberikan kerjasama kepada IPT untuk bersama-sama menangani pademik Covid-19 di negara ini.
“Kementerian yakin dan komited dengan inisiatif yang digerakkan secara bersama ini, Pelan Pemulihan Negara dapat dilaksanakan dengan lebih pantas,” katanya.
Setakat ini, PPV IPT Unimas mencatat rekod 5,584 penerima vaksin sehari dengan sejumlah 37,758 penerima menerima vaksin sejak 10 hari lalu.
Sebuah lagi PPV IPT akan dibuka di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan dengan kapasiti 3,000 penerima vaksin sehari, PPV IPT ini mampu memberi manfaat kepada penduduk terutamanya di Negeri Sembilan.
Ketika ini, PPV IPT yang telah beroperasi mempunyai kapasiti 25,400 dos vaksin sehari.
Sehingga 21 Jun lalu, seramai 200,016 orang telah menerima vaksin di PPV IPT. – UTUSAN ONLINE