SEPANG: Gara-gara takut dimarahi abang kerana memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh, seorang pemuda sanggup bertindak memecut laju kenderaan selepas enggan berhenti di sebuah sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 47. 8 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), arah Puchong Cyberjaya ke arah Dengkil di sini, Sabtu lalu.
Tindakan pemuda berusia 21 tahun yang memandu kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Lexus RX350 itu bagaimanapun sempat dirakam oleh kenderaan lain sebelum video berdurasi 30 saat itu ditularkan dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan polis kemudian dibuat oleh seorang pegawai polis selepas ternampak video tular tersebut di Facebook info Bencana Pahang Dan Luar Pahang.
“Video berkenaan memaparkan sebuah kenderaan SUV warna hitam tidak berhenti di SJR yang dijalankan polis trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan kenderaan itu terus memecut laju hingga hampir melanggar seorang anggota yang berada di lokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, sebelum kejadian berlaku, polis trafik bertugas mengarahkan kenderaan terbabit berhenti.
“Bagaimanapun ketika menghampiri kenderaan tersebut untuk pemeriksaan, ia tiba-tiba memecut laju dan tidak berhenti di lokasi seperti yang diarahkan.
“Kenderaan tersebut juga gagal dikesan disebabkan dipandu dalam keadaan laju dan nombor pendaftaran kenderaan tidak dapat dikenal pasti sewaktu kejadian,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek tidak berhenti semasa pemeriksaan kerana suspek takut dimarahi abangnya kerana memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh.
“Kenderaan tersebut milik seorang lelaki berusia 31 tahun, namun telah digunakan adiknya. Bagaimanapun, suspek telah datang serah diri ke Balai Trafik Sepang pada pukul 8 malam hari yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, polis turut melakukan ujian saringan air kencing ke atas pemuda tersebut dan mendapati negatif.
Katanya, polis telah mengeluarkan saman Pol.257 diatas kesalahan memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh ke atas pemuda tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 78(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE