Sebanyak lapan kilang tiada surat MITI diarah tutup operasi

Lapan kilang tiada surat MITI diarah tutup operasi

SALAH sebuah kilang yang diarahkan tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran MITI di Sungai Kapar, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kedegilan lapan buah kilang yang beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengundang padah apabila semua premis di daerah ini diarah tutup.

Semua premis antaranya merupakan kilang acuan besi, proses kelapa sawit untuk bahan bakar dan ais terletak di Sungai Kapar, Meru, Bandar Sultan Suleiman dan Bandar Bukit Raja telah diarahkan tutup serta merta.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menjalankan Op Pematuhan Covid 3.0 selama dua hari bermula sejak kelmarin.

“Sebanyak empat pasukan digerakkan dengan memfokuskan kilang-kilang dan mendapati lapan kilang beroperasi tanpa surat MITI dan tidak termasuk dalam sektor dibenarkan.

“Malah, kita juga telah mengeluarkan sebanyak 37 kompaun terhadap pemilik dan pekerja kilang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja lebih 60 peratus dan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 143 kompaun sehingga semalam kepada individu dan peniaga.

“Kompaun dikeluarkan kerana mereka melanggar beberapa SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita menasihatkan kepada semua termasuk syarikat supaya mematuhi SOP yang ditetapkan dan jika terdapat aktiviti mencurigakan diminta menghubungi 0332912222,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya