SHAH ALAM: Kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan Ujian Saringan Komuniti Covid-19 Fasa Ketiga bermula Sabtu ini melibatkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pelaksanaan ujian saringan percuma itu melibatkan kawasan yang merekodkan peratusan positif wabak Covid-19 lebih lima peratus sewaktu pelaksanaan saringan fasa kedua sebelum ini.
Beliau berkata, selain saringan, kerajaan negeri akan membekalkan ‘Home Assessment Kit’ untuk kes-kes positif bagi tempoh kuarantin di rumah.
“Ujian Saringan Covid-19 Fasa Ketiga akan dilaksanakan secara percuma untuk warga Selangor bermula di DUN yang mencatatkan peratusan positif lebih lima peratus semasa saringan fasa dua lalu.
“Daftar dengan aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login,” katanya di laman Facebooknya hari ini.
Katanya, kawasan DUN yang terlibat Ujian Saringan Komuniti Covid-19 Fasa Ketiga ini bagi peringkat awal ini adalah Seri Setia, Taman Medan, Sungai Tua, Gombak Setia, Taman Templer, Kajang, Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa.
Kerajaan negeri baru-baru ini menyatakan komitmen untuk meneruskan Ujian Saringan Komuniti Covid-19 Fasa Ketiga menerusi pengumuman Pakej Kita Selangor 2.0.
Menerusi pelaksanaan itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri menrasarkan untuk melakukan 100,000 saringan di seluruh negeri itu.
“Fasa ketiga akan berasaskan dua strategi berdasarkan dapatan fasa pertama dan fasa kedua, iaitu penumpuan kepada kawasan hotspot kes Covid-19 dan kawasan industri serta kilang,” katanya.