KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Hafizul Kamal, 36, mencadangkan agar kerajaan melanjutkan operasi premis makanan sehingga pukul 12 malam.
Katanya, cara itu membantu peniaga untuk menambah pendapatan di samping memberi peluang kepada mereka untuk menjalankan perniagaan dalam tempoh yang lebih lama.
“Tidak salah rasanya jika operasi kedai makan dilanjutkan memandangkan perniagaan jenis ini bukan seperti sektor tempat kerja yang merekodkan kes Covid-19 tertinggi.
“Jika ini dilakukan, peniaga serta penghantar makanan berpeluang menjana lebih pendapatan dan pelanggan juga dapat membuat tempahan (makanan) di saat mereka memerlukan,” katanya.
Selain itu, Hafizul juga mencadangkan agar kerajaan dapat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dengan menutup semua sektor bagi satu tempoh tertentu untuk memutuskan rantaian Covid-19.
“Sukar untuk kita putuskan rantaian memandangkan terdapat sektor, yang merekodkan kes tertinggi seperti perkilangan dan tempat kerja masih beroperasi.
“Jika ini terus berlaku, rakyat, lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti saya akan terus terbeban dan terkesan.
“Saya harap kerajaan dapat melaksanakan PKP penuh dengan menutup semua sektor, seperti yang dilakukan ketika PKP 1.0 dahulu,” jelasnya.