Langgar SOP: Dua majikan, 14 pekerja dikompaun RM41,000 - Utusan Malaysia

Langgar SOP: Dua majikan, 14 pekerja dikompaun RM41,000

NOORZAINY Mohd. Noor memerhatikan kerja-kerja pemasangan penghadang konkrit di lorong tikus di Perai, Pulau Pinang bagi menghalang orang ramai merentas daerah tanpa kebenaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seramai 14 pekerja dikompaun RM1,500 setiap seorang selepas didapati gagal mengimbas kod MySejahtera dalam dua operasi berasingan di kilang makanan haiwan di Mak Mandin di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kompaun itu dikeluarkan dalam pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di 11 buah kilang di sekitar daerah ini.

Jelas beliau, dalam operasi pertama, seramai lapan individu yang sedang bekerja di kilang makanan haiwan itu dikenakan kompaun selepas didapati tidak mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran.

Tambahnya, seramai enam pekerja di sebuah kilang lain pula dikesan tidak mengimbas kod MySejahtera ketika memasuki premis untuk memulakan kerja.

“Kedua-dua majikan turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang kerana gagal memastikan pekerja mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini hari ini.

Selain polis, operasi bersepadu itu turut disertai anggota dan pegawai Kementerian Kesihatan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP).

Dalam perkembangan lain Noorzainy berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) meletakkan penghadang konkrit di tiga laluan tikus di sini bagi menghalang cubaan orang ramai merentas daerah tanpa kebenaran.

“Tiga laluan utama terbabit ialah laluan Kampung Terus, Sungai Dua yang bersempadan dengan Seberang Perai Tengah, Jalan Kampung Selamat-Bagan Serai dan Jalan Pinang Tunggal-Kulim.

“Sehubungan itu kita mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran dan mendapatkan surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi tujuan aktiviti ekonomi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya